2024-11-13 HaiPress
Timbalan Pengarah APM Sarawak,Leftenan Kolonel (PA) Raja Muhammad Al Hakim Raja Jaffar / Foto RTM
KUCHING,13 November - Seramai 2,759 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama 295 aset darat dan air di seluruh Sarawak telah bersiap sedia menghadapi bencana Monsun Timur Laut (MTL).
Timbalan Pengarah APM Sarawak,Leftenan Kolonel (PA) Raja Muhammad Al Hakim Raja Jaffar memberitahu langkah ini diambil bagi memastikan APM dapat bertindak pantas dalam situasi darurat atau bencana,terutamanya di kawasan berisiko tinggi.
Selain itu,latihan kemahiran secara berkala turut diberikan kepada anggota untuk memantapkan persiapan menghadapi sebarang bencana yang mungkin berlaku.
"Di Sarawak,sebanyak 581 lokasi dikenal pasti sering dilanda banjir dan akan dipantau secara aktif jika hujan lebat berterusan melanda kawasan tersebut.
"Kita akan memastikan tindakan segera dan koordinasi yang rapi dilaksanakan agar keselamatan masyarakat setempat dapat dijamin," jelas Leftenan Kolonel (PA),Raja Muhammad Al Hakim dalam temubual bersama SARAWAKfm di sini,hari ini.
Beliau turut memaklumkan sebanyak 171 latihan bencana di bawah program LEADER (Local Engagement Approach Disaster and Emergency Response) telah diadakan sepanjang tahun ini di seluruh Sarawak,melibatkan penyertaan seramai 17,350 orang termasuk anggota APM,orang awam,dan agensi berkaitan.
Dalam pada itu,beliau mengingatkan penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan membuat persiapan sewajarnya bagi menghadapi kemungkinan berlakunya bencana.
12-20
12-20
12-20
12-20
12-20
12-20
12-20
12-20
12-20
12-20