Rumah Berita Melayu Maklumat kewangan Kekayaan Bahagian fesyen Masyarakat SUV Teknologi Permainan Anak Sukan Hartanah Makanan Ibu bapa-anak Kesihatan Cerdas Hotel Hiburan Pendidikan

Sabitan dan hukuman mati enam bekas pelajar UPNM adalah tidak selamat- Peguam

2025-02-19 IDOPRESS

Foto hiasan

PUTRAJAYA,18 Februari- Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu bahawa sabitan serta hukuman mati terhadap enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain,adalah tidak selamat dan seharusnya diketepikan.

Enam bekas pelajar tersebut ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal,Muhammad Azamuddin Mad Sofi,Muhammad Najib Mohd Razi,Muhammad Afif Najmudin Azahat,Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Muhammad Najib dalam hujahnya berkata keterangan terhadap perayu ketiga tiada kes prima facie bagi kesalahan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan apatah lagi bagi kesalahan membunuh.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam bergantung kepada keterangan saksi pendakwaan ke-27 (SP27) iaitu pemilik seterika.

“Tiada dalam mana-mana keterangan SP27 mengatakan dia melihat perayu ketiga menyeterika mangsa (Zulfarhan). Penemuan yang salah ini telah memprejudiskan anak guam saya. Ini adalah kesilapan yang boleh dirayu,” katanya pada pendengaran rayuan enam pelajar itu terhadap sabitan dan hukuman mati oleh Mahkamah Rayuan.

Hisyam berkata kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menganggap SP24 Ahmad Senabil Mohamad dan SP25 Mohd Syafiq Abdullah,juga bekas pelajar UPNM sebagai saksi boleh dipercayai,namun mereka menghujahkan bahawa Mahkamah Tinggi tidak melakukan penilaian maksimum terhadap keterangan pelajar tersebut.

“Jika berbuat demikian,Mahkamah Tinggi akan mendapati keterangan mereka tidak mempunyai kredibiliti. Mahkamah Rayuan melakukan kesilapan serupa. SP24 ditahan dan direman 14 hari atas tuduhan menyebabkan kematian mangsa dan beliau memberi keterangan terhadap tahanan lain untuk menyelamatkan diri,” katanya dan memohon supaya anak guamnya dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu,peguam Amer Hamzah Arshad mewakili Muhammad Akmal dan Muhammad Azamudin berhujah bahawa pihak pendakwaan gagal memenuhi standard diperlukan untuk memastikan sabitan terhadap dua perayu itu bagi kesalahan membunuh.

Beliau berkata keterangan saksi pembelaan ke-19 (SD19) Dr Rohayu Shahar Adnan berhubung tahap kebarangkalian kematian akibat kecederaan melecur teruk atau punca alternatif kematian,telah jelas menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Oleh itu,jika diambil secara kumulatif,keterangan pakar saksi pendakwaan keenam (SP6) Dr Salmah Arshad adalah tidak muktamad dan bukti dikemukakan pihak pendakwaan tidak memenuhi unsur kesalahan membunuh.

“Pada keterangan dan laporan bedah siasat,SP6 merumuskan bahawa sebab kematian adalah disebabkan kecederaan melecur teruk," katanya.

Sementara itu,peguam Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus mewakili Abdoul Hakeem berkata mangsa berkemungkinan meninggal dunia akibat sindrom Steve Johnson,iaitu kematian itu disebabkan antibiotik diberikan doktor.

Pendengaran di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil,bersambung pada 28 Feb.

Pada 23 Julai tahun lepas,Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas pelajar UPNM itu kerana membunuh Zulfarhan,selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula kesalahan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dihadapi mereka sebelum ini.

Pada 2 Nov 2021,Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap semua enam pelajar itu,selepas mendapati mereka bersalah di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat membunuhnya.

Bekas pelajar tersebut,kini berusia 29 tahun,didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat,UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi 22 Mei 2017.

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.- BERNAMA

BERITA BERKAITAN:

Bunuh Zulfarhan: Enam bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati

Ibu bapa Zulfarhan sujud syukur dengan keputusan mahkamah

Kes bunuh Zulfarhan: Mahkamah tetapkan rayuan didengar 14 Mei

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Copyright 2009-2020 malaysounds      Hubungi kami   SiteMap