Rumah Berita Melayu Maklumat kewangan Kekayaan Bahagian fesyen Masyarakat SUV Teknologi Permainan Anak Sukan Hartanah Makanan Ibu bapa-anak Kesihatan Cerdas Hotel Hiburan Pendidikan

Ringgit kekal stabil didorong optimisme pasca belanjawan imbangi pengukuhan dolar AS

2025-10-13 HaiPress

Foto fail/RTM

KUALA LUMPUR,13 Oktober -Ringgit dibuka mendatar berbanding dolar AS pada Isnin berikutan pelabur terus cenderung terhadap mata wang Amerika Syarikat (AS) itu manakala perkembangan positif dalam negara selepas pembentangan Belanjawan 2026 membantu mengimbangi tekanan tersebut.

Pada 8 pagi,mata wang tempatan tidak berubah pada 4.2200/2260 berbanding dolar AS daripada 4.2200/2260 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pembentangan Belanjawan 2026 baru-baru ini menunjukkan kerajaan terus mengekalkan disiplin fiskalnya,dengan defisit fiskal dijangka berkurangan lagi kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026 berbanding 3.8 peratus tahun ini.

“Mungkin akan terdapat sokongan untuk ringgit selepas mencatatkan pembetulan. Ringgit dijangka berada antara RM4.20 dan RM4.21 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Pada masa yang sama,katanya Indeks Dolar AS (DXY) berada pada trajektori yang lemah pada paras 98.978 mata,merosot 0.58 peratus pada Jumaat lalu selepas Presiden AS Donald Trump mengancam untuk menaikkan tarif import kepada 100 peratus ke atas semua eksport dari China ke AS.

Pada sesi pembukaan,ringgit rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 2.7756/7799 daripada 2.7618/7659 semasa ditutup pada Jumaat lepas,berkurangan berbanding pound kepada 5.6295/6375 daripada 5.6084/6164 dan menurun berbanding euro kepada 4.8960/9030 daripada 4.8838/8907.

Ringgit kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2524/2575 daripada 3.2494/2543 dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.9186/9457 daripada 12.8942/9184 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Bagaimanapun,ringgit mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 254.6/255.1 daripada 254.6/255.1 dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.24/7.26 daripada 7.24/7.26.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Copyright 2009-2020 malaysounds      Hubungi kami   SiteMap