2025-09-08 HaiPress
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melihat demonstrasi pemberian rawatan kepada anggota tentera semasa melakukan lawatan kerja ke Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi hari ini / BERNAMA
SUNGAI BESI,8 September - Menteri Pertahanan,Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan komitmen Kementerian Pertahanan memperkukuh kesiapsiagaan dan kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi lawatan kerja ke Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (MK PMB TD) di Kem Sungai Besi,hari ini.
Ketibaan beliau disambut Timbalan Panglima Tentera Darat,Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.
Dalam lawatan itu,beliau menerima taklimat operasi semasa,menilai infrastruktur dan kemudahan sedia ada selain mendengar sendiri isu kebajikan warga tentera dan keluarga mereka. Beliau turut menyampaikan amanat serta penghargaan kepada anggota di lapangan.
“Markas ini merupakan satu markas yang sangat penting dalam soal pertahanan kerana ia mengatur gerak operasi tentera darat di Semenanjung. Peranan ini amat kritikal dalam memastikan negara sentiasa dilindungi daripada sebarang ancaman,” katanya.
Turut diadakan,majlis perasmian Surau Ar-Raudhah berkeluasan 1,200 kaki persegi dengan kapasiti 120 jemaah,yang dibina oleh anggota 4 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dengan kos RM473,000.
Selain itu,Datuk Seri Mohamed Khaled turut meninjau Program Ekonomi MADANI yang merangkumi projek ternakan lebah kelulut dan kebun herba Spice Garden diusahakan oleh ahli BAKAT Gabungan PMB TD,dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Boustead Plantation. Inisiatif ini bertujuan memperkasa ekonomi warga pertahanan.
Beliau turut menyaksikan demonstrasi Hospital Hadapan yang menampilkan fasiliti perubatan medan seperti Triage,Bilik Pembedahan serta pasukan baharu,Forward Anaesthesia and Surgical Team (FAST) – sebuah unit mobil yang mampu melaksanakan rawatan pembedahan segera di kawasan operasi termasuk misi kemanusiaan.
Lawatan berkenaan turut diserikan dengan sesi ramah mesra bersama 500 warga Kem Perdana Sungai Besi serta penyampaian sumbangan kebajikan berjumlah RM500 kepada 20 pesakit kronik dalam kalangan warga tentera dan keluarga mereka.
Keseluruhannya,lawatan itu memperlihatkan tekad Kementerian Pertahanan memperkukuh aspek kesiapsiagaan,kebajikan dan ekonomi warga ATM,selaras aspirasi Kem MADANI yang menekankan kesejahteraan menyeluruh.
09-08
09-08
09-08
09-08
09-08
09-08
09-08
09-08
09-08
09-08