Rumah Berita Melayu Maklumat kewangan Kekayaan Bahagian fesyen Masyarakat SUV Teknologi Permainan Anak Sukan Hartanah Makanan Ibu bapa-anak Kesihatan Cerdas Hotel Hiburan Pendidikan

RM2.5 juta diperuntuk bagi pembangunan Kampung Angkat MADANI di Tumpat

2025-01-17 IDOPRESS

Jeti Kasih terletak di Kampung Pasir Pekan Tengah dirasmikan Menteri KPWKM Datuk Seri Nancy Shukri pada Majlis Perasmian Program Integrasi Kasih MADANI KPWKM sempena Penyerahan Projek Fizikal Kampung Angkat MADANI/ BERNAMA

TUMPAT,17 Januari- Sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pembangunan projek fizikal dan bukan fizikal di Kampung Pasir Pekan Tengah,Tumpat,Kelantan sebagai Kampung Angkat MADANI.

Menteri Pembangunan,Wanita,Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri berkata,lima aspek utama diberi keutamaan termasuk pembangunan logistik melibatkan pembinaan jeti terapung menggunakan teknologi biokomposit (kenaf) dengan kerjasama Agensi Nuklear.

Beliau berkata selain untuk kegunaan penduduk setempat yang menjadikan sungai sebagai sumber rezeki,jeti tersebut akan menjadi laluan pihak bomba dan penyelamat bagi operasi menyelamat mangsa lemas atau ketika banjir.

Aspek keselamatan turut diutamakan dengan pemasangan 20 unit lampu solar bagi menambah baik persekitaran yang gelap.

Datuk Seri Nancy turut menyatakan selain kemudahan fizikal,projek bukan fizikal seperti program psikososial,pemeriksaan kesihatan,penubuhan pusat aktiviti warga emas (PAWE) dan pasukan perlindungan serta kebajikan kanak-kanak turut dilaksanakan.

Inisiatif ini memberikan manfaat besar kepada semua lapisan masyarakat,daripada kanak-kanak hingga warga emas.

Kesemua projek itu membuktikan komitmen Kerajaan Perpaduan terhadap pembangunan komuniti.

“Memang banyak keperluannya,di kampung ini sahaja kita dapat lihat serba kekurangan. Pada hari ini kita dapat melihat jalan raya,di tebing sungai ada tempat sangkar ikan dan tempat permainan kanak-kanak.

"Walaupun kecil... tetapi ia dapat meningkatkan wajah kampung ini yang memberi imej cantik tempat orang-orang di sini untuk memanfaatkannya. Malah ada solar,semua itu telah dapat membantu infrastruktur di sini",katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Integrasi Kasih MADANI KPWKM sempena Penyerahan Projek Fizikal Kampung Angkat MADANI di Tumpat.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPWKM,Datuk Dr Maziah Che Yusoff.

Tambahnya,menerusi program ini,pihaknya komited untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan terus kepada rakyat.

KPWKM yakin projek Kampung Angkat MADANI yang diinspirasikan Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dapat memberikan manfaat optimum terus kepada penduduk dan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

Projek dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara agensi persekutuan dan negeri,badan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan sekali gus mencerminkan kesepaduan dalam memikul tanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan rakyat.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Copyright 2009-2020 malaysounds      Hubungi kami   SiteMap