Rumah Berita Melayu Maklumat kewangan Kekayaan Bahagian fesyen Masyarakat SUV Teknologi Permainan Anak Sukan Hartanah Makanan Ibu bapa-anak Kesihatan Cerdas Hotel Hiburan Pendidikan

Ahmad Zahid mahu inisiatif Menu Rahmah diteruskan di universiti

2025-01-06 IDOPRESS

Foto FB Zahid Hamidi

BANGI,5 Januari- Operator atau pengendali makanan di kampus universiti awam perlu mengutamakan penyediaan makanan seimbang dan sihat,serta tidak hanya berfokus kepada keuntungan semata-mata.

Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata inisiatif Menu Rahmah juga perlu diteruskan di setiap universitibagi memanfaatkan lebih ramai pelajar dengan penyediaan makanan yang bernutrisi.

"Saya mengharapkan bukan hanya di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia),di kampus ini,tetapi jualan Rahmah di kampus-kampus lain juga mesti diteruskan,asalkan pengendali atau operator kafe ini tidak rugi dan gulung tikar.

"Namun,jangan ambil untung terlalu banyak. Payback period atau untuk memperoleh kembali modal itu tidak mengapa jika mengambil masa yang agak panjang,tetapi yang penting bukan kerana banyaknya rezeki yang akan masuk,tetapi keberkatannya," katanya ketika berucap merasmikan pembukaan Kuali Cafe di Bangunan Pusanika UKM,di sini.

Tambahnya,operator atau pengendali makanan diminta memberi perhatian terhadap aspek pengurusan sisa makanan yang terbaik supaya tidak menjejaskan ekosistem alam sekitar.

"Saya ingin menyarankan agar sokongan diberikan kepada kemampanan pengurusan sisa terutamanya sisa makanan.

"Dan kita berharap UKM akan menjadi contoh di mana tidak ada pembaziran atau pembuangan makanan,serta kita tidak mahu sampah-sarap,terutama bahan-bahan yang boleh mengganggu alam sekitar.

"Saya juga ingin menyarankan agar pelajar dan kakitangan memberikan keprihatinan terhadap amalan kitar semula sisa bahan makanan dan pembungkusan yang dilakukan,agar ia tidak mengganggu alam sekitar," kata Ahmad Zahid.

Dalam pada itu,Ahmad Zahid berkata peminjam dan penyewa Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang terjejas banjir akan diberi sokongan sewajarnya.

Jaminan itu termasuk dalam aspek penstrukturan semula pembayaran pinjaman serta bantuan kepada penyewa premis MARA.

Bagaimanapun,setakat ini MARA belum menerima sebarang permohonan penstrukturan semula pembayaran pinjaman daripada pihak terbabit.

"Setakat ini tidak ada rekod yang memperlihatkan bahawa ada rayuan daripada peminjam-peminjam MARA yang terjejas dengan banjir yang memohon atau merayu agar ada penangguhan pembayaran itu.

"Namun,jika ada permohonan berkenaan dikemukakan,maka pihak pengurusan MARA akan meneliti dan akan mengadakan perbincangan dengan pemohon berkenaan untuk melakukan pelarasan terhadap pembayaran berkenaan," katanya.

Sementara itu,Ahmad Zahid berkata individu yang tidak atau gagal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara memaklumkan,lebih 10,160 calon pada tahun 2023 tidak menduduki SPM,dan bilangannya dijangka hampir sama pada tahun 2024.

Pihaknya akan bekerjasama dengan Majlis TVET Negara dan Kementerian Pendidikan bagi mengenal pasti calon terbabit supaya mereka dapat dibimbing untuk memohon melanjutkan pembelajaran dalam bidang berkenaan.

"Dan kita akan memberikan peluang kedua kepada mereka yang memohon untuk memasuki TVET,walaupun mereka tidak menduduki peperiksaan SPM.


"Terdapat 1,398 institusi TVET di seluruh negara,dan kita sekarang ini selaraskan semua institusi itu,jadi mereka mempunyai banyak pilihan," katanya lagi.

Selain itu,Ahmad Zahid berkata ahli UMNO yang menghadiri himpunan solidariti bagi menyokong bekas Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadual esok,perlu menanggung risiko sendiri.

Menurutnya,arahan yang dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO,Datuk Asyraf Wajdi Dusuki adalah berdasarkan arahan Ketua Polis Negara yang tidak membenarkan sebarang perhimpunan berkaitan isu berkenaan.

"Dan tentunya aspek-aspek keselamatan dan arahan itu mempunyai alasan yang tersendiri yang harus dipatuhi.

"Kita harap tidak ada penganjur daripada mana-mana bahagian,atau cawangan yang turut terlibat secara rasmi pada perhimpunan berkenaan," katanya.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Copyright 2009-2020 malaysounds      Hubungi kami   SiteMap