2024-11-20 HaiPress
Fahmi Fadzil berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bulan November di Putrajaya hari ini/RTM
PUTRAJAYA,20 November- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diarahkan mengenal pasti syarikat telekomunikasi yang gagal menyegerakan kesalinghubungan bagi projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Sabah.
Menteri Komunikasi,Fahmi Fadzil berkata,daripada 215 menara yang siap dibina di negeri itu,hanya 130 menara mempunyai kesalinghubungan,yang mana ia menjejaskan manfaat projek kepada penduduk.
"Kita melihat situasi ini tidak adil. Ada penduduk yang melihat menara sudah siap lebih sembilan bulan tetapi masih belum beroperasi.
"Kita mahukan kesalinghubungan untuk rakyat,dan saya telah menegaskan supaya MCMC menyusuli perkara ini," katanya kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bulan November di sini hari ini.
Setakat ini hanya 56 peratus daripada 382 projek menara JENDELA Fasa 1 di Sabah telah siap dibina.
Dalam pada itu,Fahmi mencadangkan rombakan menyeluruh terhadap prosedur pelaksanaan JENDELA Fasa 2 bagi memastikan projek berjalan lebih lancar dan tidak mengulangi kelewatan seperti Fasa 1.
"Saya tidak boleh terima apabila kontrak sudah dikeluarkan,tetapi selepas dua tahun,syarikat menyatakan mereka tidak boleh membina menara di lokasi yang ditetapkan.
"Oleh itu,lokasi menara telekomunikasi Fasa 2 perlu disemak semula dan prosesnya dimulakan semula," katanya.
Beliau menegaskan langkah tersebut penting untuk memastikan keberkesanan projek dan manfaatnya dapat dinikmati rakyat seperti dirancang.
JENDELA dilancarkan pada 2020 adalah inisiatif kerajaan untuk meningkatkan liputan dan kualiti komunikasi di seluruh negara terutamanya di kawasan pedalaman.
12-20
12-20
12-20
12-20
12-20
12-20
12-20
12-20
12-20
12-20