Rumah Maklumat kewangan Berita Melayu Teknologi SUV Masyarakat Permainan Bahagian fesyen Kekayaan Sukan Cerdas Hartanah Ibu bapa-anak Makanan Anak Kesihatan Hotel Hiburan Pendidikan

Taiwan uji kesiapsiagaan tentera hadapi kemungkinan ancaman

2026-08-05 HaiPress

Foto AFP

TAIPEI,5 Ogos – Taiwan memulakan latihan ketenteraan tahunan terbesar negara,sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan pencerobohan oleh China.

RINGKASAN BERITA AI

Pengawal Pantai China turut meningkatkan aktiviti yang dikenali sebagai “zon kelabu”,iaitu tindakan yang tidak mencapai tahap peperangan di sekitar Taiwan dan pulau-pulau luarnya.

Pada Rabu,puluhan anggota pasukan simpanan menjalani latihan menembak menggunakan raifal buatan Taiwan di sebuah pantai yang menghadap Selat Taiwan,lokasi yang dianggap berpotensi menjadi kawasan pendaratan tentera China sekiranya berlaku pencerobohan.

Presiden Taiwan Lai Ching-te berkata,peluasan pengaruh autoritarian oleh Parti Komunis China (PKC) telah meningkatkan ancaman keselamatan di seluruh dunia.

“Ketika autoritarianisme PKC terus berkembang,keganasan turut merebak ke setiap pelosok dunia.

“Kami akan terus memperkukuh pertahanan negara serta membina ketahanan dan daya tahan seluruh masyarakat,” katanya ketika berucap pada forum keselamatan sehari sebelum latihan bermula.

Taiwan turut meningkatkan perbelanjaan pertahanan serta mendapatkan aset ketenteraan yang lebih kecil dan lincah,termasuk dron bagi membolehkan tenteranya melaksanakan strategi peperangan tidak simetri bagi menghadapi China.

Bawah tekanan Amerika Syarikat (AS) supaya meningkatkan perbelanjaan keselamatan,kerajaan Lai berikrar menaikkan perbelanjaan pertahanan kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Bagaimanapun,kerajaan berdepan pertikaian dengan parti pembangkang yang menguasai parlimen berhubung jumlah peruntukan bagi memperkukuh keupayaan pertahanan negara.

Pada Mei lalu,parti Kuomintang (KMT) dan Parti Rakyat Taiwan (TPP) meluluskan belanjawan khas pertahanan berjumlah AS$25 bilion,iaitu kira-kira satu pertiga lebih rendah daripada jumlah yang dicadangkan Parti Progresif Demokratik (DPP) pimpinan Lai.

Pembangkang turut menggugurkan kira-kira AS$15 bilion yang dirancang kerajaan untuk perolehan dron buatan tempatan dan beberapa usaha lain bagi memperkukuh pertahanan.

Antara fokus utama latihan Han Kuang tahun ini ialah menyahpusatkan sistem pemerintahan dan kawalan bagi membolehkan komander serta pegawai di medan operasi membuat keputusan taktikal tanpa perlu menunggu arahan daripada pihak atasan.

Latihan ketahanan bandar turut diadakan serentak sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan mempersiapkan seluruh negara menghadapi kemungkinan peperangan atau bencana alam.

Kelajuan internet mudah alih di beberapa kawasan di tengah dan utara Taiwan turut diperlahankan selama 30 minit ketika latihan amaran serangan udara bagi memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kemungkinan gangguan komunikasi semasa krisis.

Taiwan turut akan mengerahkan kapal tentera laut dan kapal Pengawal Pantai bagi mengiringi penghantaran bekalan dalam simulasi sekatan laut oleh China di perairan timur pulau itu.

Menurut pegawai pertahanan sebelum ini,latihan berkenaan juga akan menilai keupayaan kilang yang digerakkan untuk menyokong pengeluaran semasa perang,selain menguji proses pemindahan kilang ketenteraan dan awam ketika konflik.

Menteri Pertahanan Taiwan Wellington Koo berkata,latihan itu akan terus dipertingkat bagi memastikan tahap kesiapsiagaan negara sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Latihan sentiasa boleh dipertingkatkan. Oleh itu,kami akan terus menjalani latihan secara tekun dan intensif supaya bersedia sepenuhnya pada waktu aman serta mampu melaksanakan tugas ketika perang,” katanya. -AFP

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Copyright 2009-2020 malaysounds      Hubungi kami   SiteMap