Rumah Berita Melayu Maklumat kewangan Kekayaan Bahagian fesyen Masyarakat SUV Teknologi Permainan Anak Sukan Hartanah Makanan Ibu bapa-anak Kesihatan Cerdas Hotel Hiburan Pendidikan

ASEAN disaran laksana dasar ekonomi inklusif, mantap dan bersatu tangani konflik dalaman

2025-07-10 IDOPRESS

Penganalisis politik,Dr. G Manimaran / Foto RTM

KUALA LUMPUR,10 Julai- ASEAN perlu berani dan bersepakat melaksanakan dasar ekonomi yang lebih jelas,menyeluruh dan inklusif bagi memastikan pembangunan seimbang dalam kalangan negara anggotanya.

Penganalisis politik,Dr. G Manimaran berkata pendekatan bersama yang lebih konkrit dan menyeluruh perlu dilaksanakan segera agar negara ASEAN bebas daripada konflik berpanjangan yang boleh menggugat kemajuan rantau ini.

Menurutnya,pelaksanan itu perlu selari dengan Komuniti ASEAN 2045.

“Sekarang kita ada 600 juta penduduk. Dalam 20 tahun lagi mungkin jadi 700 juta. Bagaimana kita nak sediakan peluang pekerjaan dan kehidupan berkualiti untuk mereka?

"Ada negara yang maju,ada yang sedang berkembang,dan ada juga yang masih tertinggal. Jadi,kalau kita bahagikan 10 negara ini kepada tiga segmen mengikut tahap pembangunan,semua mesti dibawa bersama,” katanya ketika ditemui media selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri,di sini.

Dalam pada itu,beliau turut menyentuh isu konflik dalaman ASEAN yang disifatkan sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana perbezaan sistem politik antara negara anggota.

“Konflik memang wujud dan tidak dapat dielakkan. Tapi ia tidak boleh dihalalkan.

"Walaupun ASEAN berpegang kepada prinsip tidak campur tangan dalam hal dalaman negara lain,kita perlu ada pendekatan nilai bersama.

“Macam dalam keluarga,semua keluarga ada isu,ada konflik. Tapi bagaimana kita menyelesaikannya supaya tidak menjadi beban kepada pembangunan negara dan rantau ini” ujarnya.

Katanya lagi,terdapat negara anggota yang tidak mempunyai kemampuan untuk menyelesaikan konflik secara dalaman.

Oleh itu,menurutnya usaha itu memerlukan sokongan dan bantuan negara ASEAN lain yang lebih berpengalaman.

“ASEAN perlu bebas daripada konflik yang berpanjangan,kerana ini akan menjejaskan usaha untuk mencapai tiga prinsip utama yang digariskan sejak penubuhan ASEAN pada 1967,” katanya.

Tambah beliau,kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat turut mencetuskan konflik serantau,justeru ASEAN perlu mengukuhkan tatalaku dan etika kolektif (Code of Conduct) bagi menangani campur tangan luar.

“Ada adab kalau kita nak masuk rumah orang,begitu juga kuasa luar yang mahu masuk dalam ASEAN. Mereka perlu hormat prinsip dan tatalaku yang kita bina,” tegasnya.

Mengulas mengenai kerjasama luar,beliau berkata ASEAN kini sedang memperluas hubungan di luar 11 rakan dialog tradisionalnya.

Ini termasuk Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang telah bersetuju membentuk kerjasama pada Mei lalu,serta negara-negara dari Amerika Latin dan Afrika.

“Malah semalam,satu lagi perjanjian TAC baharu telah ditandatangani.

"Ini membuktikan ASEAN tidak boleh tunggu peluang,tapi perlu cipta peluang. Kita perlu terus proaktif untuk memperluaskan ekonomi rantau ini,” katanya.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Copyright 2009-2020 malaysounds      Hubungi kami   SiteMap