Rumah Berita Melayu Maklumat kewangan Kekayaan Bahagian fesyen Masyarakat SUV Teknologi Permainan Anak Sukan Hartanah Makanan Ibu bapa-anak Kesihatan Cerdas Hotel Hiburan Pendidikan

Wartawan muda sebagai pelapis, bukan pesaing wartawan veteran

2025-06-13 IDOPRESS

Wartawan muda bawa pendekatan baharu

KUALA LUMPUR,13 Jun - Wartawan veteran perlu melihat wartawan muda sebagai pelapis dan bukannya sebagai pesaing kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri yang boleh dimanfaatkan bersama.

Bekas wartawan dan personaliti televisyen Charles Mohan berkata generasi wartawan muda hari ini membawa pendekatan baharu,terutamanya dalam penguasaan teknologi digital dan media sosial.

“Wartawan veteran seperti saya mungkin kurang dari segi pengetahuan tentang dunia digital,sedangkan mereka yang muda sangat pantas dan aktif menggunakan media sosial. Ini sesuatu yang kita boleh pelajari daripada mereka,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV,malam ini.

Charles berkata wartawan muda tidak seharusnya dipandang rendah hanya kerana usia atau kekurangan pengalaman,sebaliknya perlu dilihat sebagai pelapis yang bakal meneruskan legasi industri kewartawanan negara.

Beliau turut menggesa agar budaya menengking atau memperlekeh pandangan wartawan muda oleh editor atau wartawan senior diubah kepada pendekatan yang lebih terbuka dan saling menghormati.

“Kita perlu cipta situasi menang-menang … mereka (wartawan muda) belajar daripada pengalaman kita,dan kita pula belajar daripada cara mereka yang segar dan pantas,” katanya.

Charles berkata hanya melalui kerjasama dan pertukaran ilmu antara generasi wartawan akan membolehkan profesion kewartawanan terus relevan,progresif dan mampu beradaptasi dengan perubahan semasa.

Pandangan Charles itu turut disokong wartawan Bernama TV,Zanariah Nor Zin yang berkata wartawan muda banyak menyumbang idea kreatif sekali gus menjadikan kandungan digital lebih segar dan menarik.

“Kadang-kadang ada perkara ataupun pengetahuan yang kita ambil daripada wartawan muda ini. Kalau kita lihat di platform digital Bernama sendiri,kandungan yang dihasilkan sekarang lebih segar dan lebih menarik kerana idea kreatif pelajar lepasan universiti yang sangat didedahkan dengan dunia digital.

“Saya kira dengan bakat yang mereka ada,terutama dari segi pendigitalan,jika digabungkan dengan laporan mendalam,ia akan meningkatkan kualiti laporan yang dihasilkan,” katanya.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Copyright 2009-2020 malaysounds      Hubungi kami   SiteMap