Rumah Berita Melayu Maklumat kewangan Kekayaan Bahagian fesyen Masyarakat SUV Teknologi Permainan Anak Sukan Hartanah Makanan Ibu bapa-anak Kesihatan Cerdas Hotel Hiburan Pendidikan

Presiden Guinea-Bissau terima sambutan rasmi di Putrajaya

2025-06-04 HaiPress

Ketibaan Presiden Embaló di Perdana Putra pada pukul 9.00 pagi disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA,4 Jun - Presiden Guinea-Bissau,Umaro Sissoco Embaló,yang sedang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia,diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra,di sini,hari ini.

Beliau tiba di Malaysia semalam bagi lawatan sulungnya ke negara ini sejak memegang jawatan sebagai Presiden Guinea-Bissau pada Februari 2020.

Ketibaan beliau di Perdana Putra pada pukul 9.00 pagi disambut oleh Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Majlis sambutan rasmi turut diserikan dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara.

Beliau kemudiannya memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Mejar Mohamad Waqiyudin Abd Rahman.

Turut hadir pada majlis itu ialah,Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof,anggota Jemaah Menteri,diplomat asing,dan pegawai kanan kerajaan.

Presiden Embaló dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian mengadakan mesyuarat bagi membincangkan hubungan dua hala dan potensi kerjasama antara kedua-dua negara.

Menurut Wisma Putra,perbincangan akan tertumpu kepada pengukuhan hubungan dua hala,khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan,pertanian,pendidikan serta pembangunan kapasiti.

Kedua-dua pihak juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama. Sidang media bersama dijadualkan diadakan sejurus selepas itu.

Malaysia dan Guinea-Bissau menjalinkan hubungan diplomatik sejak November 1974.

Hubungan kedua-dua negara kekal erat,berteraskan komitmen bersama terhadap kerjasama di peringkat dua hala dan pelbagai hala,termasuk di platform Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

Pada tahun 2024,jumlah dagangan Malaysia dengan Guinea-Bissau mencecah RM4.1 juta,dengan eksport Malaysia bernilai RM4.04 juta dan import sebanyak RM0.06 juta.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Copyright 2009-2020 malaysounds      Hubungi kami   SiteMap